Ticker

6/recent/ticker-posts

Header Ads Widget

Top Glove Nafi Dakwaan CBC

 

Top Glove Corp Bhd menafikan laporan Canadian Broadcasting Corporation (CBC) baru-baru ini mengenai kebajikan pekerjanya dengan menyifatkan sebagai mengelirukan dan telah merosakkan reputasi baik syarikat itu.

Syarikat tersebut berkata, laporan tersebut dengan sengaja memandang ringan atau tidak memasukkan langkah-langkah pemulihan terkini yang telah diambil oleh pengeluar sarung tangan getah itu.

“Kami amat kecewa apabila langkah-langkah pemulihan kami tidak disiarkan secara menyeluruh dan dinyatakan secara adil dalam video laporan utama,” menurut Top Glove dalam kenyataan hari ini seperti dilaporkan oleh Bernama.

Tambah kenyataan berkenaan, dakwaan itu dibangkitkan oleh CBC dalam siaran dan laporannya menggambarkan ada pelanggaran dalam dasar sedia ada dan itu termasuk komitmen Top Glove untuk memerangi amalan buruh paksa dan pelaksanaan dasar yang kukuh untuk melindungi hak pekerjanya.

CBC pada Jumaat lalu telah menyiarkan video dan artikel memperincikan apa yang didakwa sebagai persekitaran kerja yang ‘mengerikan’ di kilang-kilang Top Glove.

Laporan tersebut menggunakan rakaman kamera tersembunyi, dilaporkan diambil menggunakan kamera yang diseludup ke premis tersebut dengan bantuan pekerja Top Glove, yang menunjukkan persekitaran kerja yang tidak selamat dan keadaan tempat tinggal pekerjanya yang sesak.

“Top Glove komited untuk memastikan perhambaan hutang dan isu lain yang berkaitan yang telah disalah lapor oleh CBC tidak mempunyai tempat dalam operasi perniagaan kami. Kami mengatasi perkara ini dengan memastikan membuat keputusan yang tepat di semua peringkat operasi kami yang dinilai oleh pengurusan dan pengarah kami.

“Sebagai langkah wajib tambahan, syarikat melakukan penilaian untuk mengenal pasti jurang dan potensi risiko dalam operasi dan rantaian bekalan kami, membangunkan pelan mitigasi dan menyediakan langkah pemulihan dalam bidang yang perniagaan dan operasi kami tidak memenuhi aspirasi kami mengenai hak pekerja kami,” jelas kenyataan tersebut.

Top Glove menegaskan bahawa kesihatan dan keselamatan pekerjanya menjadi keutamaan syarikat. Dalam menghasilkan sarung tangan perubatan berkualiti tinggi untuk melindungi pengamal perubatan dan petugas barisan hadapan di seluruh dunia, syarikat itu komited untuk mematuhi langkah-langkah ketat bagi melindungi semua pekerja dan masyarakat.



Sumber IntraD